KDN PERLU LEBIH TERBUKA DAN PROFESIONAL
Komentar: Tarmizi Mohd Jam
Apakah masih ada harapan untuk orang-orang seperti kami, penulis-penulis politik “second
opinion” ini mewarnakan akhbar sendiri atau majalah acuan sendiri sekiranya borang
permohonan permit dihulurkan kepada KDN.
KDN di bawah Pak Lah yang menjadi menterinya, sudah tentu berkuasa penuh untuk menolak apa
sahaja permohonan baru bagi mendapatkan “Permit Penerbitan” (PP) itu, tanpa
mengemukakan sebarang alasan. Bagi KDN, alasan itu tidak penting kerana mereka beranggapan
pemohon tidak perlu tahu, mengapa permohonan mereka itu ditolak. Atau juga, KDN
berpendapat, setiap permohonan yang ditolak itu “alasannya” amat mudah difahami, ia
tidak sealiran dengan elit Umno dan kerajaan yang memerintah.
Seperti juga, KDN berkuasa penuh menarik balik permit atau mengharamkan penerbitan yang
tidak sealiran dengan mereka, betapa lagi mudahlah kerja-kerja mereka untuk menolak
permohonan yang diketahui latar-belakang pemohonnya tidak mendokong aspirasi elit Umno.
Mengapa tidak kerajaan dan KDNnya bersikap lebih terbuka dan professional dalam menangani
isu ini. Para penulis politik atau sesiapa sahaja, secara umumnya, berhak diberikan Permit
Penerbitan (PP) untuk diusahakan oleh mereka dalam sebuah negara yang aman, damai dan
tertakluk kepada undang-undang.
Banyak pihak merasa kesal dengan “gaya” KDN mendepani isu ini. Penolakan beberapa
permohonan permit oleh proksi PAS seperti yang dinyatakan oleh Suria Janib adalah bukti
betapa “pilih kasih” wujud atas nama undang-undang. Begitu juga episod ngeri,
pengharaman majalah Detik kemudiannya disusuli “sekatan” terhadap Harakah menerbitkan
lidah rasmi Pas dari lapan kali sebulan kepada dua kali sebulan, iaitu suatu larangan atas
nama undang-undang yang “terpaksa” diikuti.
Hingga kini, bayang permit untuk akhbar tabloid “Purnama” yang dipohon oleh PAS, tidak
muncul dan memang diyakini ianya tidak semudah itu untuk diberikan oleh Pak Lah. Malah
tabloid “Eksklusif” yang ada sedikit sebanyak berbau “alternatif” turut
“digam” permitnya dari diperbaharui semula.
Penggeledahan terbitan tidak berkala yang diterbitkan oleh Lutfi Othman dan Suria Janib
juga memberi iktibar kepada para penulis politik di negara ini, tentang “sekatan”
nekad KDN terhadap terbitan tanpa permit. Sekali lagi, isu “terbitan tidak berkala”
yang dihalalkan oleh undang-undang itu, “ditutup” sebelah mata oleh KDN. Sebaliknya,
terus meniupkan “kununnya” penggeledahan itu dilakukan terhadap penerbitan tanpa
permit. Sekali lagi tindakan atas nama undang-undang digunakan bagi menyelamatkan elit
Umno!
Apa salahnya, terbitan tidak berkala seperti “Haraki”, “Reformis” dan
“Alternatif”? Ia diterbitkan sekali untuk satu terbitan dan bukannya berkali-kali
seperti “hmi” atau “analisa” (kedua-duanya jelas tidak ada permit penerbitan
tetapi diterbitkan lebih dari sekali malah “hmi” sudah lebih dari lima kali terbit).
Malangnya, tidak ada tindakan diambil oleh KDN!
KDN patut menjelaskan kepada umum apa yang tersirat dalam Akta Penerbitan dan Mesin Cetak,
yang jelas membenarkan “terbitan tidak berkala” tidak perlu mendapatkan permit
penerbitan. Selagi ianya tidak jelas, terbitan jenis ini akan muncul lebih banyak lagi,
sehingga ianya menjadi “mengli” dan KDN sendiri pun akan merasa “jemu dan bosan”
untuk mengadakan operasi terhadap terbitan jenis ini.
Berilah kami “suara” dan benarkanlah kami mendapatkan Permit Penerbitan. Majalah
ataupun akhbar tabloid. Gunakanlah kebijaksanaan dan profesionalisme yang selama ini
menjadi “piagam” KDN dan kerajaan Malaysia
dalam bertindak dan menguruskan pentadbirannya. Pak Lah tidak perlu takut dengan
kehadiran kami. Siapalah kami, berbanding syarikat dan penulis tersohor yang lebih tajam
penanya memuja dan memuji Umno dan Barisan Nasional.
KDN tidak perlu khuatir, bimbang atau gerun dengan pena tajam kami, kerana di sana
terdapat undang-undang yang lebih “tajam” mengikat dan menyekat kami untuk bersuara
lantang. Biarlah majalah atau akhbar kami diterbitkan sekali sahaja, kiranya ia
“:menjejaskan” elit Umno dan kerajaan, kami tetap “bangga” profesionalisme KDN
memberikan permit penerbitan itu kepada kami.
Soalnya, kami tidak pernah diberi peluang untuk menerima permit itu, sekalipun sudah
dipohon berkali-kali. Mereka yang dapat, kalau dianalisis, adalah mereka yang lebih rapat
dengan elit Umno, dan mereka bukan dari latar belakang wartawan persuratkhabaran, namun
berpeluang dan berpeluang. Sedangkan kami, terjerit-jerit melolong menulis dalam keadaan
serba dhaif (tidak berpermit) kemudian dikejar KDN!
Sudah hancurkah idealisme dan profesionalisme KDN, hingga sanggup menafikan permohonan
permit dari kalangan kami, penulis politik kelas dua yang membawa misi “second
opinion” massa di negara ini?
Jika KDN terus “menafikan” hak kami untuk “bersuara lantang” melalui akhbar dan
majalah, mungkin setiap penulis politik di negara ini (pro second opinion), boleh membina
dan melancarkan pena tajam mereka melalui laman web masing-masing atau menyediakan web TV,
yang sudah tentu terlepas dari cengkaman KDN.
Web TV Harakah, sebagai contohnya, mendapat sambutan “luar biasa” dari pelayar
internet dalam mendapatkan maklumat terkini mengenai parti itu dan ulasan politik tanahair
yang mutakhir. Ini, permulaan bagi “pertarungan” kumpulan berpandangan kedua dengan
“sekatan” KDN di pihak kerajaan dan elit Umno.
Pendekatan baru melalui internet ini, pasti menjanjikan masa depan yang lebih cerah
terhadap proses “penyampaian” maklumat dan komentar semasa pada masa depan. Kempen
kerajaan, “sebuah rumah satu komputer” menjadi pemangkin berkesan untuk merintis
cadangan tadi dan pada masa depan, sudah
tentu masyarakat yang celik komputer dan “kebebasan” mendapatkan maklumat dari saluran
internet ini akan mematikan terus cengkaman KDN, agaknya!
|